GECOMMUNITY 2017 AIMS TO BUILD GLOBAL COMMUNITIES TO DRIVE FUTURE GROWTH OF ENTREPRENEURSHIP
28/09/2017Pelancaran Portal MCY Baharu di NICE
16/10/2017
PUTRAJAYA, 5 SEPTEMBER 2017 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglina Wilfred Madius Tangau, hari ini telah merasmikan Mesyuarat ke-14 Governing Council of the Centre for Science and Technology of the Non-Aligned and Other Developing Countries (NAM S&T Centre) dan Forum on Climate Change: Impact and Responses.
Mesyuarat ini dihadiri oleh 28 delegasi dari 16 negara yang terdiri daripada Duta Besar/ Ketua Kementerian / Jabatan / Agensi sains dan teknologi negara-negara ahli NAM S&T dan wakil kedutaan negara-negara ahli di Malaysia.
NAM S&T Centre adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada 48 negara berkecuali dan negara-negara membangun yang terletak di kawasan Afrika, Asia, Timur Tengah, Amerika dan Eropah. Pusat ini berfungsi bagi mempromosikan dan menggalakkan kerjasama teknikal antara saintis dan organisasi sains dari kalangan negara-negara anggota untuk kebaikan dan manfaat mereka.
Malaysia telah mula menganggotai NAM S&T Centre sejak 1994 dan telah memainkan peranan aktif dalam melaksanakan bersama-sama aktiviti seperti bengkel dan kursus di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar bin Haji Yahaya juga telah dilantik sebagai Timbalan Presiden Governing Council of NAM S&T Centre pada Mesyuarat Ke-13 Governing Council di Sandton City, Afrika Selatan pada tahun 2013.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau juga mengumumkan kesertaan negara ke atas Statut NAM S&T. Menurut beliau, “Kesertaan Malaysia ke atas Statut NAM S&T menunjukkan komitmen dan sokongan penuh negara terhadap objektif organisasi tersebut sebagai platform untuk mengukuhkan dan mempromosikan kerjasama sains dan teknologi.”
Manakala Forum on Climate Change telah menarik minat lebih daripada 100 peserta dari kalangan akademia dan badan bukan kerajaan. Speaker jemputan adalah Prof. Dr. Don Cowan, Pengarah Centre for Microbial Ecology and Genomics, Universiti Pretoria, Afrika Selatan, Prof. Dato’ Dr. Azizan bin Hj Abu Samah, Pengarah National Antarctic Research Centre, Universiti Malaya dan Dr. Hezri Adnan dari Fenner School of Environment and Society, Australian National University. Mereka akan berkongsi pengetahuan dan pandangan dalam impak perubahan iklim dan bagaimana negara dan komuniti dapat mengharungi cabaran yang timbul akibat daripada perubahan iklim.
Malaysia percaya bahawa melalui kolaborasi dan kerjasama antarabangsa, kita dapat lebih memahami perubahan iklim dan bagaimana untuk mengaplikasikan sains dan teknologi untuk menghadapi isu ini.
MOSTI melalui Sultan Mizan Antarctic Research Foundation telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum on Climate Change: Impact and Responses sebagai satu platform untuk membincangkan impak perubahan iklim dan peranan yang perlu dimainkan oleh mereka yang terlibat dalam isu ini, dengan harapan untuk mendapatkan komitmen semua pihak untuk menangani kesan perubahan iklim.
MOSTI juga telah menjemput semua delegasi dan peserta untuk menghadiri dan memeriahkan lagi National Innovation and Creative Economy Expo 2017 (NICE 2017) yang akan diadakan pada 12 October 2017 di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan juga MCY Summit 2017 yang akan diadakan pada 5 hingga 6 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Program-program ini akan memberi peluang kepada negara-negara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pemindahan dan pengkomersialan teknologi.