Pelancaran Portal MCY Baharu di NICE
16/10/2017Program Due Diligence Siri 1/2018
12/04/2018
Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 (MCY Summit 2017)
KUALA LUMPUR, 13 Disember, 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) untuk tahun kedua bersempena dengan Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) 2017. Sidang kemuncak selama dua hari ini membawakan tema “Mereka Bentuk Teknologi untuk Masa Depan Lestari”. Acara ini dianjurkan sebagai pemangkin untuk produk dan khidmat penyelidikan dan pembangunan tempatan menembusi pasaran menerusi inisiatif pengkomersialan yang bersesuaian.
Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2.0 adalah fasa kedua dalam usaha kerajaan untuk memajukan pengkomersialan hasil R&D negara. Ia merupakan kesinambungan kepada kejayaan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016. Ia sekaligus membuktikan iltizam kerajaan untuk mengangkat agenda Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) sebagai elemen utama dalam transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, lestari, dan maju berdasarkan kerangka Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Sidang kemuncak dua hari ini menampilkan 20 panel perbincangan dan nota utama, penyertaan daripada 100 makmal keusahawanan global merentasi 15 tema bimbingan daripada usahawan-usahawan terkemuka, enam masterclass keusahawanan, dan 330 gerai pameran.
Salah satu sorotan utama Sidang Kemuncak MCY 2017 adalah pelancaran enam produk MCY. Enam produk tersebut adalah: CamMuka – Sistem Forensik Biometrik Wajah daripada Cybersecurity Malaysia (CSM), Black Ginger daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Reconfigurable Robot (RERO) daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), TERAPI.MY daripada Technology Park Malaysia (Therapi On Demand Sdn. Bhd.), MYMATA daripada Technology Park Malaysia (Ipinfra Networks Sdn. Bhd.), dan Sistem Pemantauan Alam Sekitar (EMS) daripada Technology Park Malaysia (Logikation Sdn. Bhd.)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam ucapan perasmiannya berkata, “Pemindahan pengetahuan hanya akan membentuk sebahagian kecil daripada perjalanan seorang usahawan ke masa hadapan. Bukan itu sahaja, malah kewujudan satu platform yang menyokong pengkomersialan produk dan teknologi juga penting dan ia juga merupakan matlamat bagi Tahun Pengkomersialan Malaysia 2.0. Harapan kami adalah untuk menghubungkan sumber penyelidikan yang mendalam bersama para usahawan dalam memacu pengkomersialan produk, perkhidmatan dan teknologi baharu. Penyelidikan bagi komuniti adalah bahagian yang paling critical dalam ekosistem keusahawanan ekrana ia akan membawa idea-idea dan produk-produk baharu sekaligus membentuk ekonomi kita di masa depan.”
YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji usaha MOSTI untuk memperkukuhkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan keusahawanan. Beliau turut menggalakkan kementerian ini untuk terus memainkan peranan aktif dalam memajukan pengkomersialan dan meningkatkan impaknya dalam arena Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) antarabangsa.
Secara keseluruhannya, impak positif daripada program MCY ini boleh dirumuskan dalam tiga aspek utama. Pertama, teknologi tempatan akan mencapai tahap penembusan pasaran kebangsaan, serantau dan global yang lebih baik. Kedua, acara dan aktiviti yang berkaitan akan meningkatkan pengiktirafan global terhadap produk-produk R&D negara. Ketiga, pewujudan pasaran niche berdasarkan kekuatan negara.
Tentang Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY)
YAB Perdana Menteri mengumumkan 2016 sebagai Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY 2016) sewaktu membentangkan Belanjawan 2016. Matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan penyelidikan, pembangunan, dan inovasi (R, D & I) institusi penyelidikan tempatan serta menjana keuntungan menerusi proses pengkomersialan. MCY juga merupakan satu platform untuk meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan dan orang ramai tentang kepentingan dan potensi inovasi serta pengkomersialan dalam meningkatkan pendapatan negara.
Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 berfungsi untuk menyokong pelbagai organisasi dalam pengkomersialan harta intelek mereka menjadi produk yang bersedia untuk dipasarkan. Program ini akan membantu produk penyelidikan dan pembangunan untuk bersaing dengan pasaran antarabangsa agar idea-idea inovatif mampu diangkat secara komersial melangkaui fasa pempatenan mereka.